Monday, April 30, 2007

Your Brain is Yellow

Of all the brain types, yours is the most intellectual.
You crave mental stimulation, and your thoughts tend to very complex.
Your thoughts tend to be innovative and cutting edge, though many people don't understand them.

You tend to spend a lot of time thinking about science, architecture, and communication.

Saturday, April 28, 2007

AMUK II

Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib pada malam itu, satu lagi jeritan kedengaran daripada arah dewan. Dewan itu kecil sahaja dan terletak lebih kurang dalam seratus meter daripada surau. Kecoh seisi surau. Riuh.

Sebilangan besar peserta lelaki menerpa keluar daripada surau. Semua seakan ingin menunjukkan yang mereka sudah biasa menghadapi keadaan seperti ini. Ya, hampir semua peserta lelaki keluar menuju ke dewan. Hanya tinggal dalam 8 orang peserta lelaki sahaja dalam surau itu.

“Buka la tirai ni! Kami takuttt!” Tiba-tiba seorang peserta perempuan dengan nada suara yang sedikit kuat meminta agar tirai yang memisahkan jemaah lelaki dengan perempuan agar dibuka. Mendengarkan suara yang sedikit ketakutan itu, aku terus meluru bersama dua orang lagi lelaki membuka tirai itu.

“Kawan-kawan semua, sebetulnya aku sendiri baru pertama kali menghadapi situasi sebegini. Tapi ingatlah semua yang di dunia ini adalah makhluk Allah juga. Termasuk kita juga. Jadi, mintalah perlindungan daripada Tuhan kita, Allah. Kalau kita takut sekalipun, ingatlah pada Allah,” begitu seorang teman aku mengingati peserta-peserta yang masih berada di surau.

Beberapa jeritan masih kedengaran dari arah dewan kecil. Kami yang masih berada di dalam surau meneruskan aktiviti dengan membaca Yassin. Memang surah itu sahaja yang mampu dibaca kerana tidak terdapat satu buku Al-Quran pun di dalam surau itu, yang ada hanyalah buku-buku Surah Yassin.

Habis sahaja membaca Yassin, dan ketika kami mahu mengerjakan solat Isyak tiba-tiba kedengaran sedikit riuh dari arah jemaah wanita. Seorang peserta perempuan pula pengsan dalam surau itu. Aku minta peserta lelaki terus mengerjakan solat Isyak sementara beberapa orang teman aku pergi melihatkan keadaan peserta perempuan itu. Begitulah riuhnya suasana pada malam itu. Seorang demi seorang tumbang! Dan jeritan masih lagi kedengaran beberapa kali.

Seusai mengerjakan solat Isyak, semua yang berada di surau terus bergegas menuju ke dewan kecil. Dan sebetulnya keadaan di dalam dewan memang lagi teruk. Lebih dahsyat. Kelihatan beberapa orang peserta perempuan sudah terbaring di atas tilam yang diletakkan di situ. Aku kemudian duduk bersama peserta-peserta yang lain mengelilingi peserta-peserta perempuan yang terbaring di situ.

“Kau tahu Azree, tadi makhluk tu minta daun dan batu tu sekali lagi. Dia nak malam ni juga diserahkan. Dan makhluk tu pun ada berkata andaikata batu itu tidak dapat ditemui, dia nakkan 2 botol air yang telah dibaca surah Yassin dengan beberapa doa,” beritahu seorang temanku, Roy.

Keadaan memang sedikit kelam-kabut ketika itu. Seorang fasilitator berbangsa Cina cuba membuat aktiviti sendiri bersama peserta-peserta perempuan. Tetapi aktiviti yang ingin dilakukannya itu aku rasakan sedikit tidak kena dengan keadaan pada waktu itu. Dia ingin buat aktiviti bercerita kenangan-kenangan indah ataupun lucu dan dia mahukan semua peserta turut serta aktiviti yang dilakukannya itu. Aku hormat pandangannya itu sebagai seorang fasilitator yang sudah mengikuti kursus. Tapi yang aku pasti itu semua hanya teori. Teori yang tidak kena dengan keadaan waktu itu.

Mungkin di dalam kelas yang diikutinya, tidak pernah diajar bagaimana menghormati alam sekeliling. Yang dipelajarinya hanya ilmu untuk kaunseling antara manusia dengan manusia. Sedangkan dia tidak sedar atau mungkin aku boleh katakan tidak hormat dengan makhluk yang lain yang sedang marah-marah pada waktu itu.

Ingin aku katakan padanya andailah dia boleh lihat betapa ramainya ‘penduduk’ di luar dewan itu nescaya dia tidak akan mencadangkan aktiviti bukan-bukannya itu. Ya, begitu banyak makhluk di luar dewan itu. Seakan mengepung seluruh kawasan itu. Sebahagian daripada ‘mereka’ menetap di atas kawasan bukit dan sebahagian lagi menetap di kawasan sekitar tempat penginapan kami itu sahaja.

Tiba-tiba satu lagi raungan kedengaran daripada seorang peserta perempuan. Baru sahaja fasilitator Cina itu ingin melakukan aktivitinya, dan kerana raungan itu dia membatalkan sahaja hasratnya untuk meneruskannya.

Aku dikhabarkan oleh seseorang, yang merasuk semua peserta-peserta itu adalah jin dari kawasan bukit. Dan sebenarnya jin dari kawasan bukit bergaduh dengan jin dari kawasan bawah bukit(iaitu kawasan penginapan kami yang berada betul-betul di bawah bukit). Semua peserta itu agak terselamat kerana jin dari kawasan bukit yang mengacau mereka kerana jin dari kawasan bawah agak ganas perilakunya. Mungkin boleh menyebabkan gila atau sebagainya.

Malam itu diteruskan dengan bacaan Yassin. Kali ini bacaan Yassin diketuai oleh seorang penduduk kampung sekitar kawasan Bentong. Ada beberapa ayat dalam Surah Yassin itu yang diulang-ulangnya. Aku pun tidak pasti kenapa ada ayat yang diulang-ulangnya. Habis sahaja bacaan Yassin, tiba-tiba seorang peserta yang badannya dijadikan perantara untuk ketua jin itu meraung sekuat hati. Lima orang peserta yang berada di hadapannya terus memegang erat badannya. Seketika kemudian, barulah keadaan kembali tenang.

Selepas itu, semua peserta yang ada membuat kesalahan sewaktu mendaki bukit diminta untuk bersiap sedia untuk naik kembali sebelum tengah malam. Barang orang harus dipulangkan! Malam itu tidak ada apa-apa lagi perkara besar berlaku. Dan semua peserta tidur agak awal malam itu. Tiada lagi yang duduk mengumpat, yang menghisap rokok, yang bergelak tawa, yang kebiasaannya pada waktu malam itulah yang mereka lakukan. Malam itu aku tidur sambil mendengar suara orang berzikir di sebelahku. Memang semua menjadi malaikat pada malam itu.

Keesokan harinya, aktiviti berjalan seperti biasa dan ada yang berlatih untuk persembahan kebudayaan pada malamnya. Cuma pada malam itu seakan semua peserta melupakan kejadian yang telah berlaku. Lupa diri. Aku kesal kerana pada malam itu ada yang berpegang-pegang tangan sambil menari-nari. Ustaz yang telah dilantik daripada kalangan fasilitator aku lihat hanya duduk tersenyum.



P/S:Maaf kerana agak lambat untuk sambung kisah amuk ini kerana saya sendiri menerima beberapa gangguan setiap kali ingin menyambungnya. Benar. Bukan kisah tipu!

BUDAK 8 TAHUN BOLEH MENGUNDI DI MALAYSIA?

Pelik dan memang terlalu pelik. Saya masih cuba bersangka baik tetapi masih tidak mampu juga. Hairan. Sedangkan saya sendiri tidak dapat lagi daftar sebagai pengundi. Ini kisah tentang seorang budak 8 tahun yang sudah berdaftar sebagai pengundi di kawasan Ijok. Bagaimanakah keadilan yang diperintah Allah SWT dapat ditunaikan jika demikian keadaannya.

Teman semua boleh periksa sendiri di laman web daftar pemilih SPR. Copu dulu no. IC budak ini dan baru pergi sana. Cuba buka daftar pemilih SPR ini. BUKA DI SINI

MEDAN KETERANGAN

Kad Pengenalan
: 990518610029 / 1203758
Nama: ISPANI B MOHD REJO
Jantina: LELAKI
Lokaliti: 096 / 11 / 04 / 001 - KG BKT BADUNG
Daerah Mengundi: 096 / 11 / 04 - BUKIT BADONG
DUN: 096 / 11 - IJOK
Parlimen: 096 - KUALA SELANGOR
Negeri: SELANGOR
Status Rekod: DATA INI UNTUK SEMAKAN DAFTAR PEMILIH
Sebarang pertanyaan :' ); //-->
spr@spr.gov.my
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
(c) Hakcipta Terpelihara SPR 2007



p/s: Apakah lagi yang boleh difahami dari fakta jelas ini.

Thursday, April 26, 2007

Kurus-kurus?

Semalam ibu angkatku menelefonku bertanyakan khabar. Suaranya sedikit gembira mungkin. Aku pula sedikit terharu. Hehe. Sebab aku belum berkesempatan menelefonnya. Selepas beberapa ketika bertanyakan hal tentang diriku sekarang, dia kemudian beralih kepada topik sebenar perbualan pada malam itu.


"Azree masih ingatkan tentang handset anak mak yang hilang tu. Mak nak minta maaflah kat kamu semua. Mak pun tak sanggup tengok barang-barang kamu digeledah sampai macam tu rupa." Sayu suaranya semasa itu. Pilu.


"Tak apa, mak. Kami tak kisah pun semua tu. Kami pun harap handset Basri tu ditemui semula." Aku cuba menenangkan perasaannya semula. Ibu mana yang mahu tengok anaknya dipersalahkan.


"Hari tu mak ada pergi jumpa seorang ustaz kat Bentong ni. Dia tu memang pandai sedikit dalam ilmu-ilmu agama ni"

"Oh, apa hasrat mak jumpa ustaz tu?" Aku cuba mencari kepastian.


"Mak pun tanyalah dia sama ada dia boleh kesan siapa yang mencuri handset anak mak tu."


"Erm.. Apa katanya mak?

"Dia kata orang yang mencuri handset tu ada di kalangan kamu berlima juga. Orang yang mencuri tu badannya kurus-kurus dan selalu duduk termenung. Kiranya paling senyap la antara kamu berlima,” suaranya sudah tidak sayu seperti tadi.


“Ramai juga yang kurus-kurus tu mak.”


“Mak tahu tapi dalam semua yang kurus-kurus tu ada yang paling senyap.”


“Er.. Saya ni tak biasa nak main teka-teka ni. Takut tersalah orang pula,” aku cuba untuk mengelak daripada diminta untuk meneka-neka sebegitu kerana bukan tabiatku suka menuduh orang.


“Tak apa Azree, yang pasti mak yakin bukan Azree yang buat”


“Alhamdulillah. Tapi kenapa pula mak boleh yakin macam tu sekali?”


“Sebab Azree tak tergolong dalam yang kurus-kurus tu.” Suaranya sedikit berseloroh. Dan aku turut tertawa.

P/S: Sambungan untuk cerita Amuk terpaksa ditangguhkan buat sementara kerana hatiku sendiri tak berasa tenang bila nak sambung cerita itu. Tapi memang aku akan sambungkan juga. Sebab cerita itu ada teladannya.

Tuesday, April 24, 2007

Ini kisah benar. Berlaku sewaktu aku di Program Jatidiri dan Kepimpinan Negara di Cermas Agro park, Bentong. Kisah yang aku sendiri tidak menyangka akan berlaku. Ini bukan kisah palsu!

Amuk
Oleh Noor Azree B. Mohd Hanifiah


Sebetulnya aku sendiri tidak ingat malam ke berapakah peristiwa ini terjadi. Pelik. Tapi memang benar-benar terjadi. Betul.

Di sana aku sudah lama perasaan akan kelibat dia di situ. Betul-betul di bawah pokok yang sedikit rendang di tepi padang. Dalam cuaca senja begini dengan riak wajah yang semacam ada sedikit kerisauan sudah tentu menimbulkan tanda tanya bagi sesiapa yang melihatnya. Ah, tak mengapalah mungkin dia ada perkara sendiri yang ingin dibuatnya. Lantas aku pun masuk ke bilik seusai mengahabiskan makananku pada senja itu.

Selang beberapa minit kemudian, tidak sempat aku melabuhkan punggung di atas katil, tiba-tiba suasana menjadi sedikit kecoh.

“Kem Komandan minta semua berada di tengah padang sekarang!” terdengar suara sedikit menjerit memanggil dari bilik ke bilik. Seakan suatu perkara besar telah berlaku.

“Ada apa dia panggil tiba-tiba begini, Mat? Menyusahkan orang betul la. Mandi pun tak lagi ni. Maghrib pun dah masuk.” Ujar seorang peserta yang duduk sebilik denganku. Wajahnya menimbulkan sedikit ketidakpuasan.

“Ah, aku pun tak tahu. Kita pergi tengok sajalah. Dengar kata petang tadi ada seorang budak pengsan meracau-racau.”

Langit makin gelap, dan aku dikumpulkan bersama beberapa peserta lain di padang. Ada suatu perkara ingin diselesaikan malam itu juga. Hal besar mungkin.

“Dengar sini! Seperti yang kita sedia maklum, kita semua telah naik bukit pada pagi tadi dan turun semula dengan selamat. Tapi, ada di antara kamu semua yang berbuat perkara yang tak sepatutnya sepanjang perjalanan kita pagi tadi. Saya nak kamu semua berlaku jujur malam ini! Seorang rakan kita sudah pengsan petang tadi angkara ‘makhluk’ itu marah-marah! Siapa yang ada ambil benda-benda pelik di puncak bukit itu, mengaku! ‘Makhluk tu beritahu ada barang mereka telah dicuri dari atas. Pertamanya, sehelai daun yang bertulis kalimah ‘ALLAH’. Kedua, batu yang sedikit berkilauan. Saya tak pasti bentuknya bagaimana tetapi pasti yang mengambilnya sedar!” Suaranya agak perlahan tapi mampu didengar oleh semua peserta di tengah padang tersebut. Tegas.

“Err.. er.. Saya, tuan! Saya ada mengambil sehelai daun,” dengan suara sedikit bergetar seorang peserta mengaku.

“Bagus. Ketiga, siapa yang hisap rokok semasa mendaki bukit tadi, minta keluar ke depan sekarang! Saya dah pesan banyak kali kepada kamu. Tempat orang jangan dibuat sesuka hati!”

Beberapa orang peserta keluar ke depan. Mungkin tidak sesuai aku sebut beberapa kerana jumlahnya agak ramai juga yang merokok.

“Akhir sekali saya nak ingatkan! Malam ini ‘makhluk’ itu berjanji akan datang lagi sebelum masuk waktu Isya’. Saya nak yang terlibat mengambil benda-benda pelik jumpa saya selepas ini. Mungkin ada yang tak mahu mengaku sekarang, tapi sebelum ia buat kacau lagi…..”

Tidak semena-mena seorang peserta lelaki yang berdiri di sebelah aku tiba-tiba tumbang. Pengsan. Semua yang di padang terkejut. Riuh. Aku sedikit tergamam seketika sebelum menolong merebahkan badannya.

“Sekarang semua boleh kembali ke bilik masing-masing!”

Sebetulnya aku masih baru dengan perkara begini, di waktu program yang dikatakan menjanjikan keseronokan. Menurut kata urusetianyalah.

Cuma malam itu aku berasa sedikit gembira. Tanpa perlu diajak-ajak seperti malam-malam sebelumnya, tiba-tiba surau itu menjadi penuh. Faham-faham sahajalah. Masa berubah, macam kata orang tua, sekali air bah, sekali pantai berubah. Ada yang menjadi lebih syaitan dan ada yang menjadi lebih malaikat. Cuma malam itu, seakan malaikat-malaikat turut tersenyum.



P/s: Akan disambung esok. Nanti-nantikan. Cuma elok saya katakan peristiwa besar berlaku pada malam itu. Ya, sangat besar! Perhimpunan yang ‘di atas’ dan yang ‘di bawah’.

Monday, April 16, 2007

IDOLA ANDA!


Seorang pakar motivasi mengatakan di usia remaja ini, anda memerlukan seorang idola untuk dijadikan sandaran atau ikutan. Lalu kepada siapa anda meletakkan ketakjuban anda di dunia yang serba luas ini? Ada pula saya mendengar beberapa orang menyebut nama-nama seperti Karl Marx, Lenin dan juga Che Guevera dengan mengatakan mereka inilah idola bagi lelaki yang kuat perjuangannya. Sesungguhnya perjuangan Nabi Muhammad lebih dahsyat daripada mereka semua ini dan yang penting Nabi Muhammad bukannya ingin membangunkan negara komunis!

Dan lantas saya tertarik apabila ramai kawan-kawan saya dengan pantas mengatakan,”Idola saya adalah Nabi Muhammad!”. Ya, dan semangat mereka inilah yang saya kagumi.

Tapi sejauh mana mereka mengenali Rasulullah lantas terus sahaja mengikuti setiap tindak tanduk beliau? Ucapan Rasul sebagai idola tidak sepatutnya sekadar menjadi laungan dan hanya ditulis di atas kertas sahaja dan kemudiaanya hilang begitu sahaja.

Saya ingin berdiskusi sedikit perkara dengan anda tentang Rasulullah agar tidak hanya menjadi sebutan sahaja. Sedikit sahaja. Tentunya anda masih ingat saat bagaimana Rasulullah dibesarkan dengan menjadi pengembala kambing pada usia 8 tahun supaya daya kepimpinan telah sebati dengan jiwanya. Tentu bukan mudah untuk menjaga kambing yang perangainya macam-macam. Juga sewaktu beliau menjadi assistant manager unit jualan di usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga. Lantas menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di tahap internasional pada usia 20 an. Itulah cara Rasulullah menghabiskan masa di usia muda.

Pertama sekali sebelum kita memilih seseorang idola, bagi saya ia perlu mematuhi kriteria-kriteria berikut: Pertama, dia memang seorang tokoh yang sedia ada dan terbukti kesahihan kewujudannya. Kedua, sejarah hidupnya perlulah tercatat lengkap tanpa ada sebarang kepalsuan yang boleh menjejaskannya. Ketiga, segala tindak-tanduk dan ajarannya boleh disesuaikan dengan zaman yang serba moden ini. Keempat, dia benar-benar elok untuk dicontohi.

Secara konkritnya begini: Pertama, pasti anda setuju bahawa Rasulullah adalah figur sejarah yang tidak dapat disangkal lagi. Beliau bukannya hero cerita dongeng, fiksyen mahupun legenda. Beliau adalah nyata!

Kedua, tidak ada seorang tokoh pun yang segala tindak-tanduknya, ucapannya, gaya hidupnya tercatat lengkap seperti beliau. Bahkan catatan(hadis) itu pun dibuat selengkap mungkin tanpa cacat cela, dijauhkan daripada sebarang kebohongan.

Ketiga, beliau seorang yang multipersonal ataupun multidimensi, merangkumi semua perkara yang perlu ada pada diri setiap muslim tanpa mengira peredaran zaman. Hendak kata beliau kaya, boleh juga. Miskin pun selalu juga. Hendak dikatakan beliau adalah pemimpin pun betul tetapi hidupnya seperti orang biasa juga. Boleh juga dikatakn seorang businessman paling berjaya tetapi masih juga dermawan. Pernah juga menjadi suami kepada seorang isteri dan lebih daripada dua juga ada malah isterinya ada yang lebih tua dan ada juga yang lebih muda. Jadi, bolehlah dikatakan beliau adalah seorang insan paling lengkap untuk dijadikan contoh.

Keempat, rasanya tidak perlulah dipertikaikan lagi lagi perkara ini kerana orang barat sendiri telah mengiktiraf rasulullah sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia. Malah disenaraikan di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia. Maka elok benarlah rasulullah dicontohi dan dijadikan sebagai idola.


Rujukan: Nikmatnya Pacara Selepas Pernikahan, Salim A. Fillah.

Tuesday, April 03, 2007

Al-Aqsa Yunadiikum!!


PALESTIN KINI MILIK YAHUDI?

Yahudi : ini janji Tuhan untuk bangsa Yahudi !
Islam : ini adalah kota suci yang telah Rasulullah diisrakkan dan dimikrajkan ke langit!

DAN..SIAPAKAH YANG LEBIH BERHAK?

Mencari kebenaran sebegini bukanlah mudah.Menentukan siapakah yang berhak bukanlah sekadar laungan “Palestin ini milik kami!” mahupun bagi Yahudi, Kristian ataupun Islam. Namun,hukum alam bila kita mengatakan hidupnya masa kini kerana sejarah masa lalu. Maka, pengembalian pada sejarah Palestin sendiri harus dikaji untuk menentukan agama manakah yang lebih berhak memiliki Palestin tanpa taksub pada mana-mana kaum, agama dan bangsa. Di sinilah peranan PBB, UN dan OIC, untuk bertindak dengan lebih pandai dalam membuat keputusan yang lebih matang dalam menyerahkan Palestin sepenuhnya pada yang berhak.

HAK UNTUK PULANG “RIGHT OF RETURN”

1) Adakah benar kepulangan Yahudi adalah janji Tuhan Yahweh kepada mereka? Lantas mereka juga mendakwa merekalah penduduk asal Palestin berikutan sejarah Nabi Musa dahulu. Jika dilihat pada sejarah, Bani Israel (Yahudi) enggan berhijrah bersama Nabi Musa ke tanah suci Baitulmaqdis dan yang keduanya, diserang Nebuchadnezar pada tahun 586 S.M, dan ditawan menjadi hamba abdi Babilon, mereka juga pernah menolak tawaran Raja Cyrus untuk pulang ke Palestin. Oleh itu, adakah benar mereka ini berjuang atas dasar agama atau politik dan ekonomi semata-mata?

2) Seorang pengarang buku The 13th Tribe,Arthur Kostler mengatakan terdapat 2 golongan Yahudi iaitu Yahudi Ashkenazi yang berasal dari Eropah, Rusia, Eropah Barat, Amerika,dan Amerika Selatan. Mereka ini adalah bukan daripada golongan Yahudi asal dan mereka inilah yang mengasas gerakan Zionis. Manakala golongan yang kedua adalah Yahudi Shepardi yang berasal dari Iraq, Yaman, Maghribi dan Negara-negara Arab yang berdekatan termasuk Afrika. Mereka ini adalah golongan Yahudi asal yang menentang kepulangan Yahudi ke Palestin mengikut apa yang dijanjikan Taurat. Sekaligus mereka melabelkan Gerakan Zionis adalah gerakan Yahudi ‘murtad’.

3) Terdapat Organisasi di luar Israel, Naturei Karta, daripada golongan Yahudi Ortodoks yang berpegang dengan ajaran Yahudi yang sebenar sangat menentang gerakan Zionis. Menurut mereka akidah sebenar Yahudi selepas mereka diusir dari bumi Palestin di zaman Nebuchadnezar, mereka tidak lagi dibenarkan pulang ke Palestin sehinggalah kemunculan Messiah di akhir zaman dan membawa mereka pulang dalam keadaan aman tanpa peperangan. Menurut mereka juga, Yahudi dikeluarkan dari Palestin adalah kerana dosa-dosa mereka dan merupakan siksaan daripada Tuhan. Mereka seharusnya mengambil pengajaran dan memperbaiki kesilapan masa lalu.

4) Doktrin Gerakan Zionis sandaran mereka terhadap agama dan kitab suci mereka adalah amat tidak berasas dan amat goyah. Jadi, tidak hairanlah mengapa pada penghujung hayat Herzl(Pengasas gerakan Zionis) tiba-tiba mengubah pendiriannya untuk menubuhkan Erezt Yizrael(Negara Israel) di Ghana pula. Jika suruhan agama ini adalah kudus seperti yang didakwa Zionis, mengapa boleh bertukar-tukar tempat pula. Hanya manusia yang waras dapat memikirkan betapa Gerakan Zionis ini boleh hancur pada bila-bila masa sahaja!

BAGAIMANA PULA DENGAN HAK MUSLIM PALESTIN?

Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa Kan’an adalah bangsa pertama yang menduduki Palestin sejak 4500 tahun dahulu. Apabila Islam muncul, majoriti penduduk Palestin memeluk Islam dan mengadaptasikan Bahasa Arab sebagai bahasa utama mereka sehinggalah bermulanya penaklukan kuasa Islam ke atas Palestin pada tahun 15H hingga sekarang. Bahkan bangsa Yahudi hanya memerintah selama 4 kurun sahaja iaitu dari tahun 1000 hingga 586S.M, sedangkan penduduk asal Palestin terus kekal di situ. Kemudian, kerajaan Islam pula memerintah secara terus-menerus selama 1200 tahun(636-1917M) namun cuma terdapat gangguan daripada pemerintahan Salib selama 90 tahun dan selepas itu Islam terus bertapak di Palestin.

Peristiwa Israk Mikraj seterusnya telah mengukuhkan lagi bukti bahawa Palestin itu milik orang Islam. Peristiwa agung ini telah menunjukkan bahawa ini adalah amanah Allah kepada RasulNya yang tercinta dan kaum muslimin untuk memelihara kesucian kota ini. Selain itu juga. Perjanjian Umar atau lebih dikenali sebagai Al’Ahd al-Umari atau The Covenant of Umar telah menyatakan pengiktirafan Kristian terhadap Umat Islam dan mereka sendiri meminta Umar agar tidak membenarkan Yahudi tinggal di Baitulmaqdis. Secara jelasnya di sini,Islam adalah lebih berhak memiliki Palestin dan Yahudi harus menyedari hakikat bahawa kewujudan mereka di Palestin tidak langsung diiktiraf oleh sejarah!

Oh palestin..
Nantikan Khalid
Nantikan umar
Nantikan Qutz
Nantikan salahuddin
Dan aku..
Sampai bila harus menanti..
Ibarat laut hilang masinnya
Ibarat Furat henti alirnya…

“ SEJARAH TELAH BERKATA….HANYA MATA DAN HATI YANG TERTUTUP TIDAK DAPAT MELIHAT….”


Rujukan : Peluru lawan Batu, Konflik Palestin & Israel, Ustaz Maszlee Malik.
oleh Nurul 'Izzah Zainol