Monday, March 21, 2005

CERPEN: VIRUS EIFA

VIRUS EIFA

I

Suasana di dataran Kizas damai. Sesekali angin Nyaman. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi kayu yang disediakan di satu sudut dataran itu. Ada semacam rasa bersalah menghantui dirinya. Entah mengapa perasaannya resah, dia sendiri kurang pasti. Perlukah dia beritahu hal tersebut kepada Fyrdhus. Dia duduk termenung sambil matanya liar memandang gelagat manusia sekitarnya.
“Syrwan!” Gegendang telinganya pantas menyambut gelombang bunyi yang memanggil namanya. Lamunannya tersentak lantas mendongak.
“Gabra punya orang! Kau fikir apa? Termenung aja.”
“Oh, Yus rupanya. Tiada apa-apa. Saja menenangkan fikiran,” itu saja kata-kata yang dapat diluahkannya. Fyrdhus merupakan rakan akrabnya di bumi Kizas ini sejak dari alam persekolahan lagi hinggalah sekarang.
“Kau tiada kerja ke yang hendak dibuat masa cuti ni? Cuti sekolah hanya tinggal lagi 3 minggu”
“Ada. Kerja nak menawan dunia. Mesti kau pun ingin turut serta kalau aku beritahu.” Kata Syrwan. Cuba memaksa hati kecil Fyrdhus supaya bertanya lagi.
“Kerja apa? Ada projek besar ke yang kau nak bagi aku.”
“Bawa bertenang, tak lari gunung dikejar. Duduklah dulu. Manusia tak akan tahu semua perkara, justeru tahu banyak perkara lebih baik daripada tidak suka mengambil tahu walaupun satu perkara. Ingat pesanan Ustaz Taqi supaya sentiasa bersabar. Orang yang bersabar akan dikasihi Allah,” balas Syrwan cuba menggoda lagi jiwa remaja di hadapannya itu.
“Okey…oke… Aku ikut cakap kau,” kata Fyrdhus, semacam meminta jawapan. Tidak sanggup telinganya mendengar ceramah yang lebih panjang.
“Projek ini aku namakan VIRUS EIFA”


II

Jemarinya galak menekan abjad-abjad yang tersusun di papan keyboard. Jari-jemari tangannya sekali-sekala diregang. Cuba membuka failnya yang disimpan rapi di dalam komputer di sudut biliknya.
“Inilah projeknya. Aku cuba mencipta sejenis virus yang amat kuat dan tidak mampu dihapuskan oleh sebarang antivirus pun,” kata Syrwan kepada Fyrdhus sambil menunjukkan virus tersebut.
“Apa kau nak buat dengan virus ni?” Tanya Fyrdhus mencari kepastian.
“Aku nak sebarkannya ke seluruh Negara Akirema. Apabila virus ini telah tersebar, ia akan menyebabkan semua sistem rangkaian maya dan perkomputeran Akirema terganggu seterusnya meracuni segala sistem yang melibatkan penggunaan teknologi canggih terutama sekali sistem pertahanan dan sistem pentadbiran mereka.”
“Kau gila ke?”
“Aku tak gila, Fyrdhus. Aku cuma ingin membalas segala penghinaan orang-orang Yahudi ke atas umat Islam. Tidakkah kau tahu pengkhianat hak asasi kemanusiaan itu telah merampas segala-galanya. Rakus merampas, membunuh, menceroboh dan menindas manusia sesuka hati. Bagaimana ingin mencari sebuah kedamaian dalam rentetan kehidupan yang dipenuhi kepalsuan yang panjang,” lantang Syrwan menegaskan pendiriannya. Dia menyumpah di dalam hati.
“Maaf!” Pantas ucapan itu terlantun keluar dari bibir Fyrdhus. Dia kini mengerti mengapa sahabatnya itu beria-ia sangat. Dia sendiri pun tidak setuju melihat dan mendengar bagaimana umat Islam disiksa serta ditindas oleh tentera-tentera Akirema yang bermata tapi tidak berhati itu.
“Tapi, bukankah perkara ini merbahaya, Wan. Tidakkah kau fikir semasak-masaknya? Kita ni masih remaja lagi. Susah nak dapat kerja kalau kena tangkap nanti,” Fyrdhus cuba memujuk rakannya itu.
“Sudahku fikirkan semuanya Yus. Aku sanggup menerima apa saja hukuman demi menegakkan keadilan. Kita hidup di dunia ini dengan segala macam nikmat daripada Allah. Nikmat Allah yang ada pada kita harus digunakan untuk menyelamatkan seluruh umat manusia, sama ada Muslim atau kafir. Islam ditrurunkan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia Kita dapat bernafas pun dengan kuasa Allah. Dari tanah kita datang dan ke tanah juga kita kembali,” dengan penuh ketenangan remaja berkulit putih itu menghamburkan kata-kata.
Benar. Zaman ini zaman pelik. Orang bertudung labuh atau berserban dipandang serong bila keluar berjalan. Hairan. Generasi kini lebih selesa memandang orang tidak berbaju daripada bertudung. Usah ditipu dek Akirema, kempen menghapus keganasan katanya. Sebetulnya mereka sendiri pengganas. Mereka tidak pernah terganggu dengan apa jua resolusi yang dikeluarkan oleh mana-mana badan pun selama ini. Bukan mudah hendak mematahkan serangan demi serangan daripada Negara Akirema. Entah negara mana pula akan menjadi mangsa. Moral pejuang Islam kini berada pada tahap yang tinggi.


III

Tinggal tiga hari sahaja lagi untuk dia menyebarkan virusnya itu ke dalam sistem rangkaian internet ke seluruh Negara Akirema. Dia teringatkan kembali perbincangannya dengan Ustaz Haqeemy selepas kuliah subuh pada pagi tadi.
+ Yang mati telah pun pergi, manakala yang hidup akan menyusul mengikut ketetapan Yang Maha Esa. Sesungguhnya Allah menyuruh kita untuk berlaku adil dan berbuat kebaikan dan menjauhi perbuatan keji.
- Emm, jika begitu kita perlulah bersatu padu menentang kezaliman daripada berleluasa.
+ Sama sekali kita tidak perlu tunduk kepada mereka, kaum Yahudi. Merekalah yang telah mempergunakan media-media massa sebagai alat menyebarkan fahaman songsang serta berita-berita palsu semata-mata ingin menjatuhkan akal fikiran umat Islam.
- Apakah hukum kita menentangnya?
+ Hukumnya wajib. Golongan seperti ini tergolong dalam golongan yang wajib kita menentangnya. Islam mewajibkan kita supaya berjihad memerangi segala macam penindasan yang dilakukan oleh golongan kafir harbi ke atas umat Islam. Dunia ini untuk didiami bukan untuk dimusnahi.
- Andai kezaliman terus berleluasa?
+ Tugas kita sebagai khalifah untuk mengamankannya. Mudah-mudahan masih ada pemuda yang sanggup berjihad dan berkorban di jalan Allah. Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.
Wajah ustaz muda itu masih bermain-main lagi di benak kepalanya. Semangatnya semakin membara. Kesakitan yang bakal menerpa tidak dapat menandingi keperitan hidup umat Islam yang ditindas. Kaum wanita dirogol sewenang-wenangnya. Inikah yang dikatakan memerangi keganasan seperti yang telah diwara-warakan oleh negara besar seperti Akirema?
Bergembiralah kamu dengan perkara-perkara yang dapat menghapuskan dosa dan menggugurkan kesalahan kerana sesungguhnya Allah menjanjikan balasan yang setimpal walau sekecil zarah atas setiap apa yang kamu lakukan. Kekuatan tidak akan datang daripada kemampuan fizikal, tetapi ia datang daripada semangat yang tidak pernah mengalah.


IV

Angin waktu membawa senja jadi malam. Tetapi kelibat angin bagai tidak terasa. Negara Akirema sibuk. Rakyat berbondang-bondang dari kawasan bandar membawa ke perkampungan terpencil, sibuk dengan urusan duniawi.
Siapa yang dapat bertahan begini? 37% penduduk negara itu mengeluh, menentang hak asasi kemanusiaan yang sering disalah ertikan untuk menjajah negara lain. Satu pungutan suara yang dikendalikan akhbar dan laman web rasmi The Peace membuktikan masih masih ramai penduduk negara itu yang berhati mulia. Masih berperikemanusiaan. Tetapi Presiden Akirema, Dayusia, tetap tidak akan tunduk kepada kehendak rakyat. Ego dengan kuasa yang dimilikinya. Semakin mara umat Islam, semakin menyemarakkan lagi nafsunya untuk melemahkan Islam. Dia tahu, andai Islam bangkit sudah tentu takhtanya akan jatuh, kedudukannya terancam. Dan yang lebih penting kaumnya, Israel, tidak akan hidup mewah.
Dengan pahatan keyakinan Presiden Dayusia melangkah lebih marak, mengarahkan bala tenteranya menghapuskan negara-negara Islam satu-persatu. Bermula daripada negara Islam yang kuat, dia menjajah. Dia tahu, walau beribu askarnya mati, dia tidak akan takut kerana umat Islam akan menjadi semakin lemah dek kelalaian pemuda-pemuda Islam yang hanyut dengan hiburan yang sengaja dicipta. Demi melunturkan semangat juang dan demi merosakkan akidah mereka.
Dia ingin mencipta satu revolusi baru yang bakal memahat namanya di segenap pelusuk alam. Sengaja diciptakannya televisyen dan internet. Malah disuruhnya artis-artis menyanyi atas nama ingin membuat konsert amal, tapi menjadi yang sebaliknya terjadi, hanya melahirkan khayalan demi khayalan yang tidak pernah kunjung padam. Remaja semakin leka dengan godaan syaitan. Tangisan dan raungan wanita dan kanak-kanak yang ditindas ingin ditutup daripada jiwa pemuda Islam. Kata-kata ulama ditolak tepi, manakala gelak tawa artis menjadi siulan mereka. Mereka terus dimanipulasi. Bilakah keamanan akan muncul kembali?


V

Syrwan terhenti. Terasa lutut kakinya semakin kebas dan nyilu. Dia terbongkok-bongkok cuba mengurut-urut lutut itu. Matanya dipejamkan mengumpul seberapa banyak kekuatan. Sudah tiga jam lamanya dia duduk di kerusi menatap skrin komputernya. Tidak sekali-kali berganjak. Hatinya sudah nekad ingin melakukannya pada malam itu juga. Malah kini dia bertambah yakin bahawa virus ciptaannya itu dapat menutup keegoaan rejim zionis selama ini.
Dia cuma perlu menyebarkan virusnya ke beberapa kawasan dengan menggunakan internet. Tentu mereka tidak menyangka internet yang mereka cipta bakal menghapuskan kaum mereka sendiri.
Jemari lembutnya pantas menekan kekunci keyboard. Dia menggunakan segala ilmu yang dipelajari daripada rakan-rakan mayanya, menghantar virus tersebut kepada beberapa pengguna yang masih leka mengakses internet. Dia akan menamatkan revolusi yang dicipta oleh kaum Yahudi ini.
“Encik!” Tiba-tiba bahunya disentap daripada belakang. Dia menoleh, terkejut memandang dua orang anggota polis di belakangnya.
“Kamu ditahan atas tuduhan cuba menganggu serta merosakkan sistem rangkaian internet,” kata salah seorang anggota polis yang berpakaian seragam lengkap itu.
Ah, tidak sekarang. Bagaimana mungkin polis ini tahu akan rahsianya? Pelik. Dia ingin melarikan diri tetapi sudah tidak ada peluang lagi. Dua orang anggota polis ini menggenggam erat pergelangan tangannya.
“Sekarang mari ikut kami ke balai,” arah anggota polis tersebut sambil menggari tangannya.
Dia dibawa ke kereta peronda polis. Langkahnya terhenti apabila melihat rakan karibnya, Fyrdhus, sedang bercakap dengan seorang lagi anggota polis di luar perkarangan rumahnya. Terkejut. Dia menelinga.
+ Terima kasih atas kerjasama yang encik berikan. Segala jasa encik amat kami hargai.
- Saya hanya menjalankan kewajipan saya sahaja sebagai rakyat. Yang salah patut dihukum.
Syrwan memandang tepat pada wajah Fyrdhus. Air matanya gugur. Hatinya terbakar dengan kejadian yang tidak disangka-sangka ini. Fyrdhus hanya mampu mengukir senyuman. Senyuman yang sengaja dibuat bagi menutup rasa bersalah kepada sahabatnya.
+ Encik akan kami hubungi dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan kes ini. Dan mungkin pihak kami akan beri sedikit penghargaan kepada encik.
- Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Fyrdhus menyusun kata-kata dusta. Dia tahu pihak media akan membuat liputan mengenai kejadian ini. Berita ini akan menjadi hangat dan namanya akan terus naik. Rupa-rupanya Fyrdhus juga termakan oleh hasutan semangat hedonistik yang kian menular. Hanya ingin mengejar nama dan populariti.
Wahai sahabat, terlalu singkat fikiranmu. Aku tidak akan sesekali menyesali perbuatanku ini. Tidakkah kau tahu? Kau terlupa janji Allah bahawa, ”Sekiranya engkau kufur, maka azabKu amat pedih…”. Andai aku ditahan hari ini, aku tidak akan bersedih kerana VIRUS EIFA sedang disebarkan dari satu komputer ke satu komputer yang lain dan begitulah seterusnya. Dan mungkin juga aku terlupa beritahu engkau bahawa aku tidak bertindak berseorangan. Masih ramai lagi remaja lain yang turut serta dalam projek ini dan mereka tetap akan meneruskan perjuangan ini. Setiap daripada mereka mempunyai kemahiran tersendiri dan banyak lagi virus telah dicipta oleh kami. Aku cuma terkilan dan tidak percaya atas apa yang telah lakukan. Madu yang kuharapkan, tuba yang kau beri. Aku hanya ingin kau tahu bahawa aku tidak akan menyimpan dendam terhadap perbuatan kau ini kerana pada malam ini aku berada dalam penuh kenikmatan.
Ingatlah bahawa selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari. Agama buat kehidupan di akhirat dan harta buat kehidupan di dunia. Di dunia orang yang tidak berharta berasa susah hati, tetapi orang yang tidak beragama merasa lebih sengsara di akhirat. Lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku. Leraikanlah kami daripada pautan nafsu duniawi, ya Allah. Semoga kau diberikan hidayah, sahabatku.
Ingatlah bahawa Negara Akirema tetap akan musnah bersama-sama VIRUS EIFA. Mungkin bukan hari ini ataupun esok, tetapi harinya tetap akan tiba.

1 comment:

Anonymous said...

hmm..akhirnye termaktub juga komen ku do sini setelah terjanji dgn en azree ni..erm..virus eifa adalah salah satu cerpen yg agak menarik tajuknye..permulaan agak biasa dibaca tp pengakhiran lain sedikit, tragik..tp ironinya..penghabisan sedemikian menguatkan lagi watak utamanya..saya rasa..terutama dari segi ketegasan pemikiran dan kepercayaan yang kian longlai serta kewaspadaan..seandainya beliau berhajat mencipta virus lain la ..pengajaran yang saya dpt...berwaspasa dgn gunting dlm lipatan... :p