Wednesday, December 27, 2006

Sajak tepi-tepi 1


CINTA
(Selepas melihat promo filem 'cinta')

Kabir Bathia kata cinta itu
sebuah kisah tentang kasih
lima sandiwara orang melayu

lalu aku katakan padanya
satu
satu
satu
satu
satu
Setinggi langit
Sedalam lautan
cinta hamba kepada tuhannya


____________________________________
Catatan

nampak promo filem ni masa dalam bas yang lalu di laluan jalan bangsar.

Monday, December 25, 2006

MALAS

Setelah sekian lama saya tidak update blog bukannya kerana 'malas' tetapi kerana kesibukan belajar di UIA. Juga kerana saya agak selalu dipanggil untuk menjadi ahli jawatankuasa program. Sehianggakan pulang sahaja daripada Minggu Penulis Remaja (MPR), saya terus disibukkan dengan pangglian telefon untuk menjayakan program di SAM Tanjung Karang pada awal bulan Januari nanti.(mungkin boleh dikatakan 'malas' update juga dengan gunakan alasan seperti ni)

Hendak saya letakkan cerpen atau sajak baru pun sudah tidak boleh selepas menerima nasihat daripada kak nisah haron mengenai hak cipta dan hak penerbitan. (kalau hendak tahu dengan lebih lanjut boleh pergi baca sendiri di blog k.nisah) tapi mungkin saya akan letakkan sajak-sajak eceran saya di sini.

Sunday, September 10, 2006


PERINDU SYAHID

Kala mentari direnggut rembulan
hati dihuni kesepian
bagai terlakar sebuah pesona
tak terungkap pada bicara
tak terbaca pada mata

Rasa itu
rindu yang memilukan
melarik cerita lara
membenam cerita suka
dalam samar dan terang
hilang tiada terpulang

Aku pengemis
pada sebutir kedamaian
aku penagih
pada sehembus ketulusan
aku perindu
pada secebis kecintaan
aku pemburu
pada secangkir senyuman
bukan tangisan

Merah tanah pusara itu
berbekam dendam dalam
bersulam kesumat teramat
pada sang pendusta nista
pada Latta dan Uzza
pada zionis persis
syaitan dunia

Aqsa
aku kembali
biar hilang jemari
biar puput jasad
kerana din aku berdiri
bernafaslah Al-Quds
bernafaslah atas darah
seorang syuhada

-zinnera-
Matrikulasi UIAM

Saturday, September 09, 2006

ADIK
Oleh: Nurul ‘Izzah Zainol

Mata adik terasa pedih. Saban hari bagai ini hidangan mata pada penonton. Darah bersimbah. Daging bersepai. Raungan bagai satu nyanyian yang menghiburkan! Syaitan kau Yahudi! Lalu dicapainya alat kawalan televisyen di atas meja kecil di hadapannya. Segera dialihkan ke siaran yang lain. Bukan adik tidak mahu ambil kisah dengan bumi Palestin. Tetapi makin ditatap makin terasa pedihnya mencengkam hati, makin hangat mengalir air di mata. Masih terngiang-ngiang tangisan kanak-kanak Palestin sebayanya. Masih terlayar riak jerih perih mereka bertarung nyawa. Tapi adik? Adik tidak mampu ke sana, tidak mampu

“Aiman! Aiman!”

Suara ibu datang dari dapur. Adik tahu, ibu sedang siapkan makan malam. Kasihan ibu. Ketika langit subuh gelap metah, ibu sudah keluar mencari secicip rezeki. Ambil upah menoreh getah. Tengah harinya membanting tulang di bendang. Lumpur, selut hatta lintah dan pacat memang itu mainan ibu. Tidak cukup itu, malamnya ibu sibuk menjahit pakaian. Kalaulah adik dapat ganti tempat ibu. Biar adik yang buat itu semua. Ibu tetap begitu. Ibu kata kalau tidak makan nasi nanti sakit perut, tidak boleh belajar. Adik tidak boleh jadi doktor macam Abang Long.

Abang Long! Satu hembusan yang tidak dipinta terhambur keluar. “Bila agaknya Abang Long mahu pulang?” Itu sahaja persoalan yang sering meniti di bibir, bermain di kotak fikiran. Namun, tiada jawapan. Hampa. Entah ke mana hilangnya Abang Long sekarang ini. Kali terakhir adik menatap dan bersua adalah dua tahun yang lalu. Khabarnya Abang Long hendak ke Johor. Abang Long bawa beg besar waktu itu. Adik baru masuk darjah satu. Baru berputik semangat mahu belajar. Mahu jadi doktor macam Abang Long.

Ingatan yang singgah tadi mengusik jiwa adik. Entah mengapa tiba-tiba selera adik mati. Maafkan adik ibu. Bukan adik sudah mual dengan masakan ibu yang serupa sahaja saban harinya. Tapi, ingatan pada Abang Long merasuk emosi adik. Rindu dendam yang terpendam kembali bertandang, menjenguk menggoyah ketabahan yang mula membenih dalam diri adik.

* * * *

“Pak Budi! Pak Budi!”
Terasa sakit tekak adik melaung. Perit mentari sudah menggigit-gigit kulit adik memecah peluh. Namun kaki ini masih tega berlari mendapatkan Pak Budi. Tampak dari jauh orang tua separuh abad itu berjalan tertunduk-tunduk. Semacam perlahan amat tapi tidak terkejar adik. Pak Budi menoleh. Secalit senyuman terukir di bibir tuanya sambil tergeleng-geleng kepalanya.

“Nak ikut.” Pinta adik. Adik pandang singlet putih Pak Budi. Sudah lusuh kekuningan. Macam baju sekolah adik yang tidak berganti. Kemudian mata adik tersorot pada lembaran kertas dan sebatang pena di tangan Pak Budi. Puisi apa yang akan Pak Budi cipta hari ini? Adik jalan beriringan. Tikaman sinar mentari bagai terasa salju yang mendinginkan. Syukur, adik dapat bersama Pak Budi lagi.

“Aiman nampak ikan itu?”

“Nampak”

“Pak hendak Aiman jadi macam ikan.” Ringkas sahaja arahan itu. Adik tidak faham. Mata adik mencerlung ke wajah kedut Pak Budi. Tenang sahaja wajah itu. Sesekali adik mengerutkan kening, menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa pula falsafah Pak Budi kali ini.

“Jadilah seperti ikan di air masin, kalau dirasa isinya masih tawar bukan?” Pak Budi mula berfalsafah. Adik angguk beberapa kali.

“Walaupun hidupnya di air masin namun ia sedikit pun tidak mempengaruhi rasa ikan itu. Sama juga seperti manusia. Walaupun hidupnya penuh dengan godaan dan dugaan, jangan mudah terpengaruh.

“Tetapkan pendirian macam ikan.” Pak Budi melemparkan pandangannya kembali ke laut. Permukaan laut kelihatan memantul-mantul cahaya kuning matahari. Adik mengangguk lagi tanda faham.

Malam ini, hujung bulan. Memang rutin adik mengira tabungan adik. Adik simpan tabung adik jauh di dalam almari. Tabung buluh adik yang dibuat sendiri tiga tahun yang lalu bersama Abang Long dicapainya, dikeluarkan isinya bertabur di atas katil. Adik mengeluh dalam, angin malam yang menyerbu masuk ke kamar belum dapat mententeramkan kemurungan yang mulai merajai sukma. Hampir setiap hari adik ikat perut di sekolah. Sebagaimana ibu beri wang ke sekolah begitulah pulangnya ke tabung. Bagi Adik biarlah sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Adik tahu, bahawa angan-angan adik terlalu tinggi.

“Abang Long, Mekah itu apa?”

“Tempat orang pergi haji, dekat situ ada kaabah.” Abang Long yang sedang leka membaca buku mengalihkan perhatiannya pada adik.

“Oh, yang Abang Long cerita pasal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail?"

“Pandai adik abang, kenapa Aiman tanya?”

“Hari itu Aiman nampak ibu kira duit, lepas itu Aiman dengar ibu sebut Mekah”

“Hurm, ibu teringin hendak ke Mekah, semua orang Islam teringin hendak ke Mekah. Abang dan Aiman pun sekali. Dekat Mekah orang bukan Islam tidak boleh pijak tanahnya. Hari itu semua orang pakai baju putih-putih, muka mereka bersih-bersih. Sesiapa yang mencuri dekat sana, terus kena potong tangan.”

Jantung Adik bagaikan disentap. Dada Adik terasa sempit menghimpit. Sesak nafas terasa. Ingatan terhadap perbualan dengan Abang Long tadi merasuk hiba di hati.

* * * * *

Seperti biasa, petang itu adik akan segera ke pantai. Angin pantai terasa kasar menampar pipi. Bagai ingin mengkhabarkan sesuatu yang berat yang bakal diterimanya daripada Pak Budi. Mata adik terus tertancap pada tubuh tua Pak Budi.

“Pak tahu di mana abang Aiman.” Pak Budi mula merintis kata. Pandangan Pak Budi masih leka mengamati riak laut yang agak berombak rancak petang itu. Perhatian adik semakin terpancing. Berkerut dahi adik. Sudah lama Abang long pergi kenapa sekarang kisah itu perlu dicarik-carik kembali.

“Ini anak Pak, ini abang Aiman bukan?” Pak Budi menghulurkan sekeping gambar yang agak kusam dalam sapu tangannya. Adik terkesima. Terkedu tanpa kata. Wajah ini yang dirinduinya.

“Abang kau tidak akan pulang lagi, tanah itu sudah terhutang darah dengannya”
Adik mengasak otak mentafsir bicara Pak Budi. Mengapa lain benar bunyinya. Sarat dengan baur dendam dalam.

“Maksud Pak Budi, abang mati?” Terluncur soalan itu dari bibir adik. Itu yang sebenarnya adik ingin tahu. Angin pantai yang rakus menampar-nampar wajah adik seakan mengasak rasa yang kurang senang apabila Pak Budi terus membisu tanpa jawapan. Adik terus-menerus meratah wajah Pak Budi. Kelihatan tubir mata Pak Budi sudah basah. Adik masih terus lagi menanti.

“Ya.” Seakan berat nada Pak Budi

“Anak aku dan abang kau sudah syahid di sana.”

Tubir matanya pecah bagai empangan. Dibiarkan air itu mengalir hangat di pipi. Irama kocakan air laut seakan turut melagukan rasa pilu dan ngilu dengan khabaran daripada Pak Budi. Maha berat berita yang diterima adik petang ini. Berita yang mengatakan bahawa adik tidak perlu lagi menanti Abang Long. Khabaran yang memberitahu bahawa adik tidak perlu lagi menyiapkan bantal tidur buat Abang Long saban malam.

Adik terus terjun dari batu tempat duduknya. Mencapai kasut sekolah yang ditanggalkan dan berlari sambil menggalas beg sekolahnya.

* * * * *

Awal bismillah pembuka bicara.

Salam rindu buat ibu yang sangat Along sayangi. Salam rindu juga buat adik yang amat Along kasihi. Alhamdulillah, Along di sini sihat sentiasa. Sihat maksud Along, hati along bertambah sihat bila along dapat memberi makan pada mereka di sini. Ibu, terasa rindu buat ibu semakin kuat tatkala Along bersama ibu-ibu di sini. Penyayang, prihatin, dan pengasih. Sama seperti ibu. Ibu tahu, mereka melayan Along seperti anak mereka. Bila Along bangun saja daripada tidur sudah berselimut badan Along, sudah beralas kepala Along. Setiap kali bila Along bersama mereka, setiap kali itulah mereka mengalirkan air mata. Bukan mereka ini menyalahi takdir ibu, cuma hati ibu mana yang tidak tersayat bila jenazah anak kecil yang disambut berlumuran darah, hilang tangan dan kakinya, terburai isi perutnya. Semua itu Along lihat dengan mata Along sendiri ibu. Mereka ini tiada hak untuk mati sebegini.

Ibu,

Segala jerih derita ini angkara Yahudi laknatullah itu ibu. Saban waktu mereka bagai anjing gila yang liar mencari mangsa. Pantang nampak susuk tubuh manusia. Rakus diratahnya dengan bom. Pecah bersepai jasad. Hancur badan menjadi serpihan-serpihan. Kata mereka, itu tanah mereka. Tanah kepulangan mereka seperti yang telah diperintahkan Tuhan Nabi Musa, Allah. Ya, memang benar ibu. Allah ada menyuruh kaum Bani Israel ini pulang ke tanah asal mereka, Palestin. Itu adalah ketika zaman Nabi Allah Musa dahulu. Namun, dengan sifat keras kepala mereka, mereka ingkar arahan Allah itu. Sehinggalah Allah mengharamkan mereka untuk kembali ke tanah Palestin ini.

Dalam kitab Suci Al-Qur’an ada menyebutkan perihal kedegilan kaum ini dalam surah Al-Maidah ayat 21-26. Sampailah sekarang ini, Yahudi atau Israel memang sinonim dengan sifat kekerasan mereka. Sesungguhnya mereka tidak sesekali akan berundur. Presiden Israel, Pembunuh nombor satu dunia itu pernah berjanji manis,andai palestin mengiktiraf mereka (Israel), mereka akan berundur. Sudah termaktub dalam Al-Qur’an, sesungguhnya, mereka ini (Bani Israel) tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak mengikut atau tunduk dengan cara hidup mereka. Ya, memang rakyat Palestin tidak akan sesekali mengiktiraf Israel. Mengiktiraf Israel bererti membunuh semua rakyat Palestin, sekaligus menghapus nama Islam di bumi Al-Quds ini. Maka, ini bermakna Masjid Al-Aqsa itu bakal digantikan dengan Haikal Sulaiman (tempat suci yahudi)! Tidak semudah itu umat Islam menyerah ibu. Tanah ini milik kita, Aqsa itu hak kita. Sehingga kini ibu, selagi mana jasad masih bernyawa, selagi itu umat Islam akan terus berjuang hanya kerana Islam. Selamanya kerana Islam ibu. Kerana itu jugalah Along berada di sini ibu.

Ibu,

Hidup di sini amat mengajar Along erti syukur. Amat mendidik Along menjadi seorang yang sabar. Amat mengasuh Along menjadi seorang perindu. Perindu pada syahid. Mencari sebutir nasi di sini ibarat mencari sebutir mutiara ibu. Dapat menghirup seteguk air adalah satu kepuasan yang tidak ternilai nikmatnya. Andai diri dapat menyambut siang, seakan satu mimpi yang tidak tersangka-sangka. Namun Along percaya, Allah tidak akan membebankan hambaNya melainkan yang termampu olehnya. Sesungguhnya memang mereka di sini kuat hatinya sebab itu Allah memilih mereka untuk didugai. Beruntung mereka ibu, syahid itu ada di mana-mana untuk mereka.

Ibu,

Sudah panjang rasanya Along berceloteh. Namun setiap kali angin tanah palestin ini berhembus, terasa narwastu ibu melarik rasa pilu di hati. Andai benar takdir yang Allah suratkan, kesempatan ini jualah untuk Along memohon sejuta kemaafan sepanjang Along bersama ibu. Maaf atas segala kesalahan yang Along lakukan. Maaf kerana Along selalu menyusahkan ibu. Maaf atas segala kata-kata Along yang membuatkan hati ibu menjadi rawan. Ibu, sampaikan salam Along pada adik. Katakan padanya, Along terlalu merinduinya. Andai adik tanyakan Along, beritahulah bahawa Along masih di Johor sehinggalah satu waktu kebenaran ini akan diketahui adik sendiri. Selamat tinggal ibu.
Anakmu
Along

Adik merenung gambar di sebalik surat itu. Sama seperti yang dilihatnya dengan Pak Budi. Adik sesungguhnya mengerti. Memang Abang Long tidak akan pulang lagi. Ibu sebenarnya memang berahsia dengannya selama ini. Tapi, entah mengapa hatinya terlalu redha dengan ketiadaan Abang Long. Bukan beerti tiada kesedihan di hati. Namun yang lebih menjentik hati adik adalah semangat juang Abang Long serta semangat persaudaraan yang wujud pada Abang Long sehingga menuntut Abang Long untuk berkorban nyawa.

Adik melipat kembali surat itu dan melangkah keluar dari bilik ibu. Sampul di tangan digenggam erat-erat. Adik pergi ke arah ibu yang masih tekun menjahit. Tiba-tiba sahaja adik peluk ibu kuat-kuat.

“Ibu, adik ingin jadi macam Abang Long. Adik pun ingin pergi tolong orang di Palestin. Kalau boleh setiap hari Isnin dan Khamis adik ingin berpuasa sunat dan duit yang dapat dijimatkan itupun adik hendak masukkan ke dalam tabung. Semua duit tabungan, adik ingin dermakan kepada rakyat Palestin. Boleh, ibu?”

Tubuh adik dipeluk erat. Semangat adik akan ibu bawa bersama dalam setiap doa. Akan ibu panjatkan doa di hadapan Kaabah, Mekah nanti. Bersyukur ibu mempunyai anak seperti Abang Long dan adik.

“Adik pun ingin mati syahid macam Abang Long di sana ibu” Kesekian kalinya air mata ibu menitis lagi.

Thursday, June 22, 2006

Dunia penuh warna-warni


Dunia penuh warna-warni
Melakar kisah setiap maknawi
Bercerita perihal insani
Agar hidup dipenuhi cahaya

Dunia penuh warna-warni
Jangan biar ia pudar
Agar timbul keikhlasan
Pada setiap kata rohani

Dunia penuh warna-warni
kadang-kadang makin kelam
Tapi manusia memang tidak kisah pada yang hitam
Jangan dilupa yang kita jugayang mencoraknya

Ingatlah pada yang hitam juga....

Wednesday, June 14, 2006

Antologi Cerpen dan Puisi untuk Palestin



Assalamualaikum,

Saya dan beberapa orang rakan di Matrikulasi UIA dalam perancangan untuk membuat antologi cerpen dan puisi Palestin. Segala keuntungan daripada cerpen ini akan disalurkan kepada tabung Palestin. Setakat ini sudah ada beberapa penulis muda yang ingin menyumbang karya mereka tetapi kami masih memerlukan banyak lagi karya untuk dimuatkan dalam antologi ini. Setaip karya yang dihantar akan dinilai terlebih dahulu oleh panel penilai. Antologi ini akan diterbitkan bawah Jemaah Islah Malaysia(JIM).
Usaha ini juga dilihat sebagai satu wadah untuk menyumbang bantuan kepada Palestin melalui karya-karya dan juga memberi kesedaran kepada bakal pembaca antologi ini.

Karya yang ingin dimuatkan dalam antologi ini hendaklah mempunyai mesej-mesej keamanan dan diberi keutaman supaya mesejnya berkaitan dengan Palestin.

Sekiranya berminat bolehlah mengirim karya anda beserta biodata diri(nama, penglibatan dalam sastera, latar pendidikan dan website jika ada, umur dan alamat) termasuk sekeping gambar ke e-mel saya.

Tarikh tutup hantar karya adalah 20 hb julai 2006

-Noor Azree-

nafa87@gmail.com

Tuesday, May 16, 2006

Ciri-ciri Penulis Dalam Islam

assalamualaikum...

baru-baru ini saya terbuka sebuah buku yang menceritakan tentang etika penulisan dalam Islam. Jadi di sini saya berkongsi satu perkara daripadanya.

Sifat penulisan dalam Islam seperti yang ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi rahimahullah, “Gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur”. Hal ni telah ditulis dalam Al-Quran dalam surah Ibrahim:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (14:24-27)

Kesusasteraan yang demikian hanya dapat ditulis oleh para penulis yang mempunyai akhlak yang baik, beriman dan mengerjakan amal soleh serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang agama. Al-Quran mengutuk penulis-penulis yang berbohong, munafik, yang bermain dengan kata-kata tanpa sebarang tujuan atau dengan kata lain sekadar menginginkan popularity semata-mata. Kutukan itu terkandung dalam ayat-ayat yang berikut:

Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta. Dan penyair-penyair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (2:221-227)

Intisari ayat-ayat dalam dua kutipan daripada Al-Quran ini jelas menunjukkan bahawa kaum penulis, dalam Islam, diwajibkan membentuk peribadi yang sempurna berasaskan konsep insane yang diajarkan oleh wahyu dan pada waktu yang sama ia harus menentukan isi kandungannya tidak melanggar batas-batas syariat, dan dengan menjadikan kalimah tayyibah sebagai pegangan dalam berkarya.


Pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid, Mohd Affandi Hassan

Thursday, May 04, 2006

Hidup 'Zero' Alasan


Sinopsis

Hidup ‘Zero’ Alasan mampu membantu individu lain dalam menghadapi masalah dan cabaran hidup. Buku ini menggunakan dialog santai sesuai dengan kehendak remaja kini.

Motivasikan diri anda bersama rakan taulan dengan menggunakan perumpamaan. Itulah Motivasi Melalui Perumpamaan (MMP).
Buku ini istimewa bagi anda. Ia bukan sahaja sesuai untuk para remaja di sekolah menengah dan belia di peringkat universiti, tetapi ia juga boleh menjadi panduan kepada penggerak remaja, guru dan ibu bapa. Ia menggunakan dialog santai remaja bagi menyelami psikologi yang tersembunyi di sebaliknya. Penerangan bagaimana menggunakan MMP dijelaskan dengan bahasa yang mudah dan ringkas.

Bagaimana anda mampu memaksimumkan penggunaan buku ini?

1. Jika anda adalah remaja, buku ini sememangnya ditulis anda. Judul buku ini sendiri menekankan anda sebagai pembaca yang pasti memperoleh kesan banyak daripadanya.

2. Banyak bab dalam buku ini menjelaskan beberapa cabaran yang akan dilalui dalam dunia seorang pelajar. Jika anda adalah remaja dan anda juga pelajar, nampaknya anda sudah tidak silap lagi. Buku ini ditulis hasil kajian dan pemerhatian kepada golongan remaja dan pelajar daripada sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

3. Jika anda anda adalah pemimpin pelajar, buku ini lebih penting. Mengapa? Kerana sebagai seorang pemimpin, anda tentu menghadapi cabaran memotivasikan rakan taulan anda. Di dalam buku ini, anda diajar dan ditunjukkan cara menggunakan perumpamaan sebagai asas motivasi ini.

4. Jika anda adalah guru, ibu bapa ataupun penggerak remaja, buku ini perlu menjadi rujukan dan panduan dalam memahami psikologi remaja dan bagaimana bersama dengan mereka dalam kehidupan seharian. Pendekatan MMP adalah lembut dan sesuai bagi pelbagai golongan remaja yang anda kenali.

5. Jika anda bukan salah satu daripada individu di atas, buku ini masih sesuai dibaca. Mengapa? Ia mengajar anda berfikir menggunakan potensi yang sedia ada dalam diri anda. Dengan membaca dan cuba melihat kepada pola pemikiran MMP ini, anda bukan sahaja mampu memaksimumkan potensi akal anda, malah ia akan membina disipilin berfikir yang lebih kemas bagi memotivasikan diri dan orang di sekeliling anda. Yang penting, ajak diri anda dan orang ramai berfikir.

Selamat membaca!

Thursday, April 20, 2006

Karya Terjemahan Terbitan PMRAM


BUKU KEDUA

Judul Buku :Weil China
Genre :Novel Terjemahan
Penulis :Emine Senlikoglu
Penterjemah :Mohd Rofizi Dollah
Penerbit :Badan Penerangan & Penerbitan (BPP) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Sinopsis :
"Gadis yang aku cintai hanya menggerak-gerakkan jari jemarinya. Dia tidak mengangkat tanganya agar orang lain tidak memahami, namun aku memahaminya. Suara lemah emakku yang meraung meminta tolong. "Tolong emak Qan!" masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Berikan kami sedikit kebebasan! Duniaku bagaikan gelap gelita sewaktu gadis yang aku cintai meludahi mukaku di hadapan khalayak ramai.

Biodata Penulis:
Aminah Syenlikoglu, penulis terkemuka Turki dilahirkan pada tahun 1953 di Bandar Istanbul. Beliau sempat melalui zaman-zaman perubahan Turki. Menjadi pengarah umum Majalah Mektup dari tahun 1985. Bergiat cergas dalam kegiatan Islam dan Kesusateraan Antarabangsa. Beliau banyak menghasilkan karya-karya bermutu dan di penjara beberapa kali kerana karya-karyanya. Dahulu Menuntut di Universiti Al-Azhar Fakulti Usuluddin.

Biodata Penterjemah:
Mohd Rofizi Bin Dollah. Berasal dari Kampung Alor Majam, Bachok, Kelantan. Menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar di peringkat Sarjana Muda dalam fakulti bahasa Arab dengan mendapat B.A (Hons) pada tahun 1997. Kemudian meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dalam Jabatan Balaghah dan Kritikan di universiti yang sama.


dipetik dari laman web www.adabuna.blogdrive.com
Sesiapa yang ingin membeli novel di atas, bolehlah bertanyakan saudari Zainab Binti Haron Yahya. Untuk makluman buku ini memang tidak dipasarkan di Malaysia. Hanya terdapat di Mesir sahaja.

Wednesday, April 19, 2006



KARYA TERJEMAHAN Terbitan PMRAM
Pengulas : Zainab Bintu Haron Yahya



BUKU PERTAMA

Judul Buku : Maria
Genre : Novel Terjemahan
Penulis : Emine Senlikoglu
Penterjemah : Mohd Rofizi Dollah
Penerbit :Badan Penerangan & Penerbitan (BPP) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
Tahun Terbit : Cetakan Pertama Mac 1999.
Cetakan Kedua Disember 1999.

Sinopsis :

Maria seorang gadis bermazhab Katholik. Mengharungi liku-liku kehidupan sebagai seorang anak kepada ibu yang fanatik dengan mazhab tersebut dan ayah berfahanman Aties. Namun kehendak Allah mengatasi segala-galanya. Maria memilih Islam sebagai pegangan hidup setelah mengalami episod pergelutan tiga penjuru (Islam, Aties, Kristian).

Abdul Wahab, pemuda Mesir yang belajar di sana berjaya menariknya ke jalan Allah, akhirnya memilih Maria sebagai calon isteri selepas kematian tunangnya, Salwa. Juga setelah Maria kecundang dalam alam percintaannya dengan pemuda Turki bernama Muhammad. Perkahwinannya dengan Abdul Wahab terhalang oleh khabar kewujudan semula Salwa. Sekali lagi Maria terperangkap di antara cinta dan pengorbanan di samping tekanan yang tidak pernah kenal erti belas kasihan daripada ibu dan adiknya.

Mampukah Maria terus berdiri di atas niat murni demi kegemilangan Islam tanpa Abdul Wahab di sisi dan mampukah dia terus hidup dalam mengharungi kemelut kekufuran?

"Pergilah kau. Kahwinilah dia...Usahlah kau bimbang tentang aku. Duniaku masih belum lagi berakhir walaupun kita terpaksa berpisah buat selama-lamanya. Suatu waktu nanti keperitan ini akan berakhir jua, Insya-Allah."

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006!

Bila: 20 April 2006 (Khamis)

Di Mana: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
MASUK ADALAH PERCUMA

Objektif Seminar:
1. Sebagai sebuah forum untuk pencinta buku untuk berdiskusi tentang hal-hal buku dan dunia perbukuan.

2. Untuk mengembangkan budaya biblioholisme (kecanduan terhadap buku dan segala hal yang berkaitan dengan dunia perbukuan).

3. Sebagai medan untuk menggerakkan aktivit-aktiviti biblioholisme di kalangan pencinta buku.
Pembentang Antara Lain:

1. Shaharom TM Sulaiman (UiTM)Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku.

2.Syed Munawar (RTM)Membudayakan buku dan minat membaca: pengalaman slot resensi buku RTM.

3.Ainon Mohamad (PTS Publication)Penghayatan buku dalam dunia wanita: Satu pengalaman.

4.Zin MahmudPeranan akhbar dalam mempromosi budaya membaca dan dunia buku: Pengalaman Utusan Malaysia.

5.Faisal TehraniPenghayatan dunia buku dalam alam penulisan kreatif: satu penerokaan peribadi

Tumpuan Peserta
1. Pustakawan
2. Pencinta buku
3. Guru-guru
4. Pelajar
5. Orang awam
Hubungi
Norelmun Sapuan (PPAS) – el_mien@yahoo.com
Hantarkan Borang Pendaftaran ke Alamat di Bawah:
Bukuonline.org43, Jalan BP 6,
Taman Bukit Permata,
68100, Batu Caves, Selangor.
Sebelum Atau Pada 18 April 2006