Tuesday, May 16, 2006

Ciri-ciri Penulis Dalam Islam

assalamualaikum...

baru-baru ini saya terbuka sebuah buku yang menceritakan tentang etika penulisan dalam Islam. Jadi di sini saya berkongsi satu perkara daripadanya.

Sifat penulisan dalam Islam seperti yang ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi rahimahullah, “Gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur”. Hal ni telah ditulis dalam Al-Quran dalam surah Ibrahim:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (14:24-27)

Kesusasteraan yang demikian hanya dapat ditulis oleh para penulis yang mempunyai akhlak yang baik, beriman dan mengerjakan amal soleh serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang agama. Al-Quran mengutuk penulis-penulis yang berbohong, munafik, yang bermain dengan kata-kata tanpa sebarang tujuan atau dengan kata lain sekadar menginginkan popularity semata-mata. Kutukan itu terkandung dalam ayat-ayat yang berikut:

Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta. Dan penyair-penyair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (2:221-227)

Intisari ayat-ayat dalam dua kutipan daripada Al-Quran ini jelas menunjukkan bahawa kaum penulis, dalam Islam, diwajibkan membentuk peribadi yang sempurna berasaskan konsep insane yang diajarkan oleh wahyu dan pada waktu yang sama ia harus menentukan isi kandungannya tidak melanggar batas-batas syariat, dan dengan menjadikan kalimah tayyibah sebagai pegangan dalam berkarya.


Pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid, Mohd Affandi Hassan

Thursday, May 04, 2006

Hidup 'Zero' Alasan


Sinopsis

Hidup ‘Zero’ Alasan mampu membantu individu lain dalam menghadapi masalah dan cabaran hidup. Buku ini menggunakan dialog santai sesuai dengan kehendak remaja kini.

Motivasikan diri anda bersama rakan taulan dengan menggunakan perumpamaan. Itulah Motivasi Melalui Perumpamaan (MMP).
Buku ini istimewa bagi anda. Ia bukan sahaja sesuai untuk para remaja di sekolah menengah dan belia di peringkat universiti, tetapi ia juga boleh menjadi panduan kepada penggerak remaja, guru dan ibu bapa. Ia menggunakan dialog santai remaja bagi menyelami psikologi yang tersembunyi di sebaliknya. Penerangan bagaimana menggunakan MMP dijelaskan dengan bahasa yang mudah dan ringkas.

Bagaimana anda mampu memaksimumkan penggunaan buku ini?

1. Jika anda adalah remaja, buku ini sememangnya ditulis anda. Judul buku ini sendiri menekankan anda sebagai pembaca yang pasti memperoleh kesan banyak daripadanya.

2. Banyak bab dalam buku ini menjelaskan beberapa cabaran yang akan dilalui dalam dunia seorang pelajar. Jika anda adalah remaja dan anda juga pelajar, nampaknya anda sudah tidak silap lagi. Buku ini ditulis hasil kajian dan pemerhatian kepada golongan remaja dan pelajar daripada sekolah-sekolah seluruh Malaysia.

3. Jika anda anda adalah pemimpin pelajar, buku ini lebih penting. Mengapa? Kerana sebagai seorang pemimpin, anda tentu menghadapi cabaran memotivasikan rakan taulan anda. Di dalam buku ini, anda diajar dan ditunjukkan cara menggunakan perumpamaan sebagai asas motivasi ini.

4. Jika anda adalah guru, ibu bapa ataupun penggerak remaja, buku ini perlu menjadi rujukan dan panduan dalam memahami psikologi remaja dan bagaimana bersama dengan mereka dalam kehidupan seharian. Pendekatan MMP adalah lembut dan sesuai bagi pelbagai golongan remaja yang anda kenali.

5. Jika anda bukan salah satu daripada individu di atas, buku ini masih sesuai dibaca. Mengapa? Ia mengajar anda berfikir menggunakan potensi yang sedia ada dalam diri anda. Dengan membaca dan cuba melihat kepada pola pemikiran MMP ini, anda bukan sahaja mampu memaksimumkan potensi akal anda, malah ia akan membina disipilin berfikir yang lebih kemas bagi memotivasikan diri dan orang di sekeliling anda. Yang penting, ajak diri anda dan orang ramai berfikir.

Selamat membaca!