Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya – pelik mungkin – kenapa saya mula meminati bidang sastera. Ada suara-suara daripada kawan saya sendiri bertanya, ”kenapa daripada seorang yang minat grafik dan komputer, tiba-tiba minat menulis sajak dan cerpen?”, ”sejak bila bertukar minat ni?”, ”dah tak reti nak buat multimedia ke?”, ”budak sains boleh ambil sastera ke?” dan bermacam-macam persoalan lagi menerjah-nerjah diri saya sewaktu mereka membaca cerpen-cerpen dan sajak-sajak awal saya.
Salahkah untuk meminat bidang sastera? Salahkah untuk saya menulis cerpen dan sajak? Jadi pada kesempatan ini ingin saya jawab satu soalan sahaja iaitu ”bagaimana boleh minat sastera?” Kisahnya bermula begini...
Sedari kecil lagi saya minat membaca buku cerita. Selalunya setiap buku yang dibaca akan diulang baca paling kurang 2 kali. Sehinggakan habis buku-buku teks KOMSAS saya sudahi baca sewaktu sekolah rendah lagi. Saya ingat lagi satu penerbit novel kanak-kanak yang amat saya minat sewaktu kecil dahulu, penerbitan Kenari. Setiap kali ada pesta buku, pasti abang saya akan beli beberapa buah buku sebagai koleksinya. dan setiap kali itu saya akan membaca. Cuma agak malas menulis ringkasan setiap buku untuk program NILAM – bukan ’agak’ malas tetapi ’memang’ malas.
Itu cerita saya sewaktu sekolah rendah. Masuk sahaja sekolah menengah, ada satu peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Saya lupa waktu itu saya tingkatan 1 atau tingkatan 2. Tapi yang pasti adik perempuan saya yang umurnya kurang setahun daripada saya membawa satu novel yang dipinjam daripada rakan kelasnya dan ditunjukkan kepada saya. Dia katakan pada saya, ”inilah novel untuk orang remaja”. Apalagi, saya pun bacalah novel itu sampai habis. Kemudian saya ulang baca sekali lagi. Bukan kerana jalan ceritanya bagus, tapi kerana tabiat saya sedari kecil. Ingin saya katakan di sini, itu kali pertama saya baca sebuah novel yang jalan ceritanya daripada awal sampai akhir membuatkan saya meluat. Hampir termuntah.
Saya pun berkata dalam hati, ”Oh, ini ke novel remaja”. Saya ingat nama penulisnya – AHADIAT AKASHAH. Dan saya perhatikan ciri-ciri cover buku itu – ada gambar perempuan. Satu pengeksploitasian yang berkesan (untuk remaja mungkin). Kesan meluat yang teramat itu melunturkan minat membaca dalam diri selepas itu. Kalau baca pun sekadar buku-buku kumpulan cerpen sahaja. Kesimpulannya, buku NILAM saya agak ’bersih’ lagi sewaktu sekolah menengah.
Setiap kali sahaja saya disuakan dengan novel-novel yang dikatakan ’Novel Remaja’ – gambar perempuan sebagai cover buku dan nama penulis yang pelik – saya menolaknya dan mengutuk-ngutuk. Ingin dikatakan pada waktu itu saya tidak tahu membezakan karya sastera dan popular. Jadi karya-karya sastera pun memang saya kutuk juga. Sampai novel-novel KOMSAS pun saya tak baca – tapi seperti yang saya katakan tadi saya dah baca sewaktu sekolah rendah, jadi waktu sekolah menengah saya hanya baca kupasan novel itu sahaja sudah memadai untuk menjawab soalan PMR dan SPM.
Kemudian sewaktu tingkatan 4, saya bertukar sekolah ke KISAS. Di sana saya berkenalan dengan lagi banyak ragam manusia. Sewaktu di tingkatan 5, kawan sebilik saya terlalu minat membaca ’Novel Remaja’. Bila dia baca novel, mulalah saya kutuk-kutuk hobi dia tu. Pada suatu hari, tiba-tiba dia merungut-rungut, ”novel apa macam ni, pening je nak baca. Bosan gila!” saya pun gelak-gelakkan dia dan mengutuk, ”dah semua novel memang macam tu, tak payah la nak baca lagi”. Kemudian diletakkan novel yang dikatakan pening itu di atas meja. Saya pun menjeling dan tengok-tengok ciri-ciri novel itu – ada gambar perempuan dan nama penulisnya pelik. Tapi gambar perempuan itu ada kelainan sedikit daripada gambar-gambar di cover ’Novel Remaja’ yang lain.
Malam itu, usai habis solat isyak, tergerak hati saya untuk membaca blurb novel tadi. ”Aik, lainnya. Macam ini ke ringkasan cerita?” Getus saya dalam hati. Kemudian saya baca prolog novel itu.
”Eh, novel sekarang dah maju ke?” Getus lagi dalam hati. Prolognya sahaja sudah menambat hati saya. Dan pada malam Sabtu itu saya mula membaca novel itu dan saya sudahi membaca novel itu pada hari Ahad. Saya hafal nama penulisnya, FAISAL TEHRANI.
Sejak habis membaca novel 1515 itu, saya mencari semua tulisannya – tidak kira artikel, novel ataupun cerpen. Kemudian kawan saya Rauf (mantan MPR2004) mengajak saya menulis. Mungkin pada waktu itu dia tengok saya beria-ia bercerita tentang novel 1515 itu dan sejak dari itulah saya faham bezanya karya sastera dengan karya popular (bukannya ’Novel Remaja’!!!). Sejak itulah juga saya mula menulis.
Sekian sahaja kisah bagaimana saya mula minat menulis. Bagi yang memang suka membaca novel popular, teruskan membaca. Mungkin kisah-kisah cinta yang kemudiannya diadunkan dengan pengalaman seks (lebih 3-10 mukasurat) itu sesuai dengan jiwa anda. Jika ada yang terasa hati dengan tulisan saya kali ini, saya mohon maaf. Tetapi, INILAH PENGALAMAN SAYA dan INILAH KISAH KENAPA SAYA. Saya harap anda tidak menyalahkan pengalaman saya ini kerana inilah yang telah ditetapkan Allah untuk saya.
Harap semua persoalan di perenggan pertama tadi telah terjawab. Kepada kawan-kawan sewaktu di KISAS, saya bukannya terus meninggalkan hobi saya yang dulu. Hingga sekarang saya masih menerima tempahan untuk membuat persembahan multimedia untuk program-program besar di UIA sampaikan pihak pentadbiran UIA sendiri meminta saya buatkan persembahan multimedia untuk departemen STAD. Ingin saya simpulkan di sini, jangan merendah-rendahkan martabat penulis kerana ada penulis yang lebih mahir dalam bidang komputer (baca=sains&teknologi) daripada anda!
P/S: Cuba teka kenapa saya katakan gambar perempuan dalam novel 1515 itu lain daripada yang lain? (”,)
No comments:
Post a Comment