Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Maghrib pada malam itu, satu lagi jeritan kedengaran daripada arah dewan. Dewan itu kecil sahaja dan terletak lebih kurang dalam seratus meter daripada surau. Kecoh seisi surau. Riuh.
Sebilangan besar peserta lelaki menerpa keluar daripada surau. Semua seakan ingin menunjukkan yang mereka sudah biasa menghadapi keadaan seperti ini. Ya, hampir semua peserta lelaki keluar menuju ke dewan. Hanya tinggal dalam 8 orang peserta lelaki sahaja dalam surau itu.
“Buka la tirai ni! Kami takuttt!” Tiba-tiba seorang peserta perempuan dengan nada suara yang sedikit kuat meminta agar tirai yang memisahkan jemaah lelaki dengan perempuan agar dibuka. Mendengarkan suara yang sedikit ketakutan itu, aku terus meluru bersama dua orang lagi lelaki membuka tirai itu.
“Kawan-kawan semua, sebetulnya aku sendiri baru pertama kali menghadapi situasi sebegini. Tapi ingatlah semua yang di dunia ini adalah makhluk Allah juga. Termasuk kita juga. Jadi, mintalah perlindungan daripada Tuhan kita, Allah. Kalau kita takut sekalipun, ingatlah pada Allah,” begitu seorang teman aku mengingati peserta-peserta yang masih berada di surau.
Beberapa jeritan masih kedengaran dari arah dewan kecil. Kami yang masih berada di dalam surau meneruskan aktiviti dengan membaca Yassin. Memang surah itu sahaja yang mampu dibaca kerana tidak terdapat satu buku Al-Quran pun di dalam surau itu, yang ada hanyalah buku-buku Surah Yassin.
Habis sahaja membaca Yassin, dan ketika kami mahu mengerjakan solat Isyak tiba-tiba kedengaran sedikit riuh dari arah jemaah wanita. Seorang peserta perempuan pula pengsan dalam surau itu. Aku minta peserta lelaki terus mengerjakan solat Isyak sementara beberapa orang teman aku pergi melihatkan keadaan peserta perempuan itu. Begitulah riuhnya suasana pada malam itu. Seorang demi seorang tumbang! Dan jeritan masih lagi kedengaran beberapa kali.
Seusai mengerjakan solat Isyak, semua yang berada di surau terus bergegas menuju ke dewan kecil. Dan sebetulnya keadaan di dalam dewan memang lagi teruk. Lebih dahsyat. Kelihatan beberapa orang peserta perempuan sudah terbaring di atas tilam yang diletakkan di situ. Aku kemudian duduk bersama peserta-peserta yang lain mengelilingi peserta-peserta perempuan yang terbaring di situ.
“Kau tahu Azree, tadi makhluk tu minta daun dan batu tu sekali lagi. Dia nak malam ni juga diserahkan. Dan makhluk tu pun ada berkata andaikata batu itu tidak dapat ditemui, dia nakkan 2 botol air yang telah dibaca surah Yassin dengan beberapa doa,” beritahu seorang temanku, Roy.
Keadaan memang sedikit kelam-kabut ketika itu. Seorang fasilitator berbangsa Cina cuba membuat aktiviti sendiri bersama peserta-peserta perempuan. Tetapi aktiviti yang ingin dilakukannya itu aku rasakan sedikit tidak kena dengan keadaan pada waktu itu. Dia ingin buat aktiviti bercerita kenangan-kenangan indah ataupun lucu dan dia mahukan semua peserta turut serta aktiviti yang dilakukannya itu. Aku hormat pandangannya itu sebagai seorang fasilitator yang sudah mengikuti kursus. Tapi yang aku pasti itu semua hanya teori. Teori yang tidak kena dengan keadaan waktu itu.
Mungkin di dalam kelas yang diikutinya, tidak pernah diajar bagaimana menghormati alam sekeliling. Yang dipelajarinya hanya ilmu untuk kaunseling antara manusia dengan manusia. Sedangkan dia tidak sedar atau mungkin aku boleh katakan tidak hormat dengan makhluk yang lain yang sedang marah-marah pada waktu itu.
Ingin aku katakan padanya andailah dia boleh lihat betapa ramainya ‘penduduk’ di luar dewan itu nescaya dia tidak akan mencadangkan aktiviti bukan-bukannya itu. Ya, begitu banyak makhluk di luar dewan itu. Seakan mengepung seluruh kawasan itu. Sebahagian daripada ‘mereka’ menetap di atas kawasan bukit dan sebahagian lagi menetap di kawasan sekitar tempat penginapan kami itu sahaja.
Tiba-tiba satu lagi raungan kedengaran daripada seorang peserta perempuan. Baru sahaja fasilitator Cina itu ingin melakukan aktivitinya, dan kerana raungan itu dia membatalkan sahaja hasratnya untuk meneruskannya.
Aku dikhabarkan oleh seseorang, yang merasuk semua peserta-peserta itu adalah jin dari kawasan bukit. Dan sebenarnya jin dari kawasan bukit bergaduh dengan jin dari kawasan bawah bukit(iaitu kawasan penginapan kami yang berada betul-betul di bawah bukit). Semua peserta itu agak terselamat kerana jin dari kawasan bukit yang mengacau mereka kerana jin dari kawasan bawah agak ganas perilakunya. Mungkin boleh menyebabkan gila atau sebagainya.
Malam itu diteruskan dengan bacaan Yassin. Kali ini bacaan Yassin diketuai oleh seorang penduduk kampung sekitar kawasan Bentong. Ada beberapa ayat dalam Surah Yassin itu yang diulang-ulangnya. Aku pun tidak pasti kenapa ada ayat yang diulang-ulangnya. Habis sahaja bacaan Yassin, tiba-tiba seorang peserta yang badannya dijadikan perantara untuk ketua jin itu meraung sekuat hati. Lima orang peserta yang berada di hadapannya terus memegang erat badannya. Seketika kemudian, barulah keadaan kembali tenang.
Selepas itu, semua peserta yang ada membuat kesalahan sewaktu mendaki bukit diminta untuk bersiap sedia untuk naik kembali sebelum tengah malam. Barang orang harus dipulangkan! Malam itu tidak ada apa-apa lagi perkara besar berlaku. Dan semua peserta tidur agak awal malam itu. Tiada lagi yang duduk mengumpat, yang menghisap rokok, yang bergelak tawa, yang kebiasaannya pada waktu malam itulah yang mereka lakukan. Malam itu aku tidur sambil mendengar suara orang berzikir di sebelahku. Memang semua menjadi malaikat pada malam itu.
Keesokan harinya, aktiviti berjalan seperti biasa dan ada yang berlatih untuk persembahan kebudayaan pada malamnya. Cuma pada malam itu seakan semua peserta melupakan kejadian yang telah berlaku. Lupa diri. Aku kesal kerana pada malam itu ada yang berpegang-pegang tangan sambil menari-nari. Ustaz yang telah dilantik daripada kalangan fasilitator aku lihat hanya duduk tersenyum.
P/S:Maaf kerana agak lambat untuk sambung kisah amuk ini kerana saya sendiri menerima beberapa gangguan setiap kali ingin menyambungnya. Benar. Bukan kisah tipu!
2 comments:
manusia itu mdah saja lupa diri...
ingat Allah bukan hanya ketika kesusahan...
Sekejap sangat. Dan sebenarnya, masa malam kebudayaan itu seorang lagi budak lelaki 'tumbang' semasa sedang baru nak buat persembahan.
Post a Comment