Seorang pakar motivasi mengatakan di usia remaja ini, anda memerlukan seorang idola untuk dijadikan sandaran atau ikutan. Lalu kepada siapa anda meletakkan ketakjuban anda di dunia yang serba luas ini? Ada pula saya mendengar beberapa orang menyebut nama-nama seperti Karl Marx, Lenin dan juga Che Guevera dengan mengatakan mereka inilah idola bagi lelaki yang kuat perjuangannya. Sesungguhnya perjuangan Nabi Muhammad lebih dahsyat daripada mereka semua ini dan yang penting Nabi Muhammad bukannya ingin membangunkan negara komunis!
Dan lantas saya tertarik apabila ramai kawan-kawan saya dengan pantas mengatakan,”Idola saya adalah Nabi Muhammad!”. Ya, dan semangat mereka inilah yang saya kagumi.
Tapi sejauh mana mereka mengenali Rasulullah lantas terus sahaja mengikuti setiap tindak tanduk beliau? Ucapan Rasul sebagai idola tidak sepatutnya sekadar menjadi laungan dan hanya ditulis di atas kertas sahaja dan kemudiaanya hilang begitu sahaja.
Saya ingin berdiskusi sedikit perkara dengan anda tentang Rasulullah agar tidak hanya menjadi sebutan sahaja. Sedikit sahaja. Tentunya anda masih ingat saat bagaimana Rasulullah dibesarkan dengan menjadi pengembala kambing pada usia 8 tahun supaya daya kepimpinan telah sebati dengan jiwanya. Tentu bukan mudah untuk menjaga kambing yang perangainya macam-macam. Juga sewaktu beliau menjadi assistant manager unit jualan di usia 12 tahun semasa mengikuti ayah saudaranya berniaga. Lantas menjadi seorang manager semasa bisnesnya sudah berada di tahap internasional pada usia 20 an. Itulah cara Rasulullah menghabiskan masa di usia muda.
Pertama sekali sebelum kita memilih seseorang idola, bagi saya ia perlu mematuhi kriteria-kriteria berikut: Pertama, dia memang seorang tokoh yang sedia ada dan terbukti kesahihan kewujudannya. Kedua, sejarah hidupnya perlulah tercatat lengkap tanpa ada sebarang kepalsuan yang boleh menjejaskannya. Ketiga, segala tindak-tanduk dan ajarannya boleh disesuaikan dengan zaman yang serba moden ini. Keempat, dia benar-benar elok untuk dicontohi.
Secara konkritnya begini: Pertama, pasti anda setuju bahawa Rasulullah adalah figur sejarah yang tidak dapat disangkal lagi. Beliau bukannya hero cerita dongeng, fiksyen mahupun legenda. Beliau adalah nyata!
Kedua, tidak ada seorang tokoh pun yang segala tindak-tanduknya, ucapannya, gaya hidupnya tercatat lengkap seperti beliau. Bahkan catatan(hadis) itu pun dibuat selengkap mungkin tanpa cacat cela, dijauhkan daripada sebarang kebohongan.
Ketiga, beliau seorang yang multipersonal ataupun multidimensi, merangkumi semua perkara yang perlu ada pada diri setiap muslim tanpa mengira peredaran zaman. Hendak kata beliau kaya, boleh juga. Miskin pun selalu juga. Hendak dikatakan beliau adalah pemimpin pun betul tetapi hidupnya seperti orang biasa juga. Boleh juga dikatakn seorang businessman paling berjaya tetapi masih juga dermawan. Pernah juga menjadi suami kepada seorang isteri dan lebih daripada dua juga ada malah isterinya ada yang lebih tua dan ada juga yang lebih muda. Jadi, bolehlah dikatakan beliau adalah seorang insan paling lengkap untuk dijadikan contoh.
Keempat, rasanya tidak perlulah dipertikaikan lagi lagi perkara ini kerana orang barat sendiri telah mengiktiraf rasulullah sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia. Malah disenaraikan di tempat pertama dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia. Maka elok benarlah rasulullah dicontohi dan dijadikan sebagai idola.
Rujukan: Nikmatnya Pacara Selepas Pernikahan, Salim A. Fillah.
No comments:
Post a Comment